Pengenalan

Servis ini memberi ruang kepada orang ramai untuk membuat proses jual beli dalam proses yang sangat mudah. My shop menghubungkan penjual dan pembeli dalam satu komuniti PI1M serta memberi pengalaman pengguna yang terbaik. Servis ini khusus untuk pengiklan profesional, membantu SMEs dan juga bisnes kecil untuk mengiklan produk dan servis melalui internet.

Dengan menggunakan my shop, pengguna dikehendaki bersetuju dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan, beserta terma dan syarat yang diperbadankan dengan rujukan.

My shop boleh meminda terma dan syarat dari semasa ke semasa atas sebab perundangan dan peraturan, atau bagi memastikan perjalanan operasi my shop bergerak lancar. Pengguna akan diberitahu mengenai pindaan melalui alamat yang emel yang disediakan oleh pengguna, atau melalui pengumuman dilaman sesawang my shop.

Etika Penjual
  • Berlaku Benar Dalam Perniagaan
    • Perilaku peniaga menuju kepada perkara-perkara benar termasuk niat dan aqad jual-beli, pemikiran, perbuatan dan pertuturan.

      Example: Peniaga tidak harus sengaja menyembunyikan kecacatan yang ada pada keluaran semata-mata untuk mengaut keuntungan. Sama juga keadaannya apabila dengan sengaja memanipulasikan bekalan sesuatu barangan bagi tujuan untuk meningkatkan harga.

  • Bertanggungjawab Kepada Pelanggan, Masyarakat Dan Persekitaran
    • Bertanggungjawab terhadap pelanggan, masyarakat dan persekitaran dalam sebarang tingkahlaku dan keputusan yang diambil.

      Example: enjual barang dengan harga yang berpatutan atau memberikan perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran yang dikenakan. Sayugia, segala barangan atau perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran atau perkhidmatan yang diberi tidak menjejaskan kepentingan masyarakat dan persekitaran.

  • Berperikemanusiaan Kepada Semua Insan
    • Mempunyai perasaan kasih sayang dan saling menghormati sesama manusia, lemah lembut, pemurah dan saling membantu. Tingkahlaku dan keputusan yang diambil mestilah mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan bukan kepentingan perniagaan itu sahaja.

      Example: Sekiranya seorang pelanggan telah membuat kesilapan semasa pembeliannya, dan ingin menukarkan sama ada dalam bentuk barangan lain atau mendapatkan kembali wangnya, peniaga harus bersetuju demi tanggungjawab sosial terhadap semua insan.

  • Kesederhanaan Tingkah Laku Dalam Perniagaan
    • Mengamalkan sifat rendah diri, tidak bermegah-megah, tidak sombong, tidak keterlaluan, tidak tamak dan berjimat cermat daripada segala segi.

      Example: Seseorang peniaga yang berjaya tidak seharusnya lupa daratan, sebaliknya masih sanggup bersikap timbang rasa serta memberi sumbangan dan sokongan kepada mereka yang memerlukannya.

  • Saksama Terhadap Pelanggan
    • Tindakan yang diambil tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja, layanan sama rata tanpa mengira kaum, kelas atau darjat dan tidak berat sebelah.

      Example: Seseorang peniaga sepatutnya tidak membezakan antara pelanggan, sama ada orang kenamaan atau rakyat biasa di dalam urusan perniagaan mereka, kerana wang itu adalah sama nilainya.

  • Kesungguhan Menjayakan Perniagaan
    • Membuat sesuatu dengan tekun, rajin dan penuh kesabaran, tidak mudah mengaku kalah, berani menanggung risiko dan sanggup berusaha bermati-matian.

      Example: Apabila menceburi bidang sesuatu perniagaan, peniaga tidak seharusnya merasa gusar dengan peniaga-peniaga yang sedia ada, apa yang penting adalah bagaimana kejayaan peniaga lain dapat mendorongnya untuk berjaya.


Hak-hak Pengguna
  • Hak untuk mendapatkan keperluan asas
    • Pengguna berhak untuk mendapat keperluan asas bagi meneruskan kehidupan yang memuaskan seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan, pendidikan, kemudahan awam, air dan sanitasi.
  • Hak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat
    • Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan.
  • Hak untuk mendapatkan maklumat
    • Pengguna berhak untuk diberitahu fakta-fakta yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta pelabelan yang tidak jujur atau mengelirukan.
  • Hak untuk membuat pilihan
    • Pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan.
  • Hak untuk mendapat ganti rugi
    • Pengguna berhak untuk mendapat penyelesaian yang adil termasuk pampasan bagi pembelian barangan yang mempunyai perihal dagangan yang mengelirukan, kurang bermutu atau perkhidmatan yang tidak memuaskan.
  • Hak untuk menyuarakan pendapat
    • Pengguna berhak untuk bersuara bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan, serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan oleh pengeluar/penjual.
  • Hak untuk mendapat pendidikan pengguna
    • Pengguna berhak untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak dalam pembelian barangan dan perkhidmatan, serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Sumber daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)